arena

Hamidin dilantik Jawatankuasa Eksekutif AFC

Oleh BERNAMA

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin terpilih sebagai anggota Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Kongres AFC ke-29 yang berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini.

Hamidin, 53, adalah antara tiga anggota antara Zon ASEAN yang dipilih selain Chris Nikou dari Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) dan Dr Tran Quoc Tuan dari Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) untuk mengisi tiga slot untuk zon berkenaan.

Mereka menang tanpa bertanding selepas calon dari Singapura, Winston Lee, menarik diri pada saat akhir.

"Ini penghormatan buat FAM dan Malaysia amnya. Saya berharap untuk bukan sahaja mewakili suara Malaysia dan ASEAN di AFC tetapi turut membina hubungan lebih erat dengan rakan-rakan persatuan yang juga ahli gabungan AFC dalam misi menaikkan lagi standard bola sepak kita," kata Hamidin.

Anggota exco lain yang terpilih untuk penggal 2019-2023 ialah Abed-Alkhaliq Masoud Ahmed (Iraq); Hachem Haider (Lubnan); Sheikh Salem Said Salem Al Wahaibi (Oman); Dr Hamid Mohammed Ali Al-Shaibani (Yemen) dari Zon Barat; Sayed Ali Reza Aghazada (Afghanistan – Zon Tengah), Dasho Ugen Tsechup Dorji (Bhutan – Zon Selatan) dan Eric Fok Kai Shan Eric (Hong Kong – Zon Timur).

Pada Kongres AFC kali ini, Presidennya, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dari Bahrain mengekalkan jawatan tanpa bertanding selepas penarikan diri Mohamed Khalfan Matar Saeed Al Romaithi (UAE) dan Saoud A. Aziz M A Al-Mohannadi (Qatar).

Hadir ke Kongres AFC ialah Presiden FIFA Gianni Infantino dan Setiausaha Agung FIFA, Fatma Samoura.

Disiarkan pada: April 6, 2019 @ 6:43pm
d