arena

KL kejutkan Kedah, PP dan UKM kongsi mata

Oleh BERNAMA

KEDAH mengekalkan kedudukan ketiga carta Liga Super walaupun kalah mengejut 1-2 kepada pasukan bawahan liga, Kuala Lumpur pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Skuad Lang Merah berkongsi 12 mata dengan Selangor selepas lapan perlawanan, namun kekal di kedudukan ketiga menerusi kelebihan jaringan.

Pada aksi di Cheras, dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan pemain dari Filipina, Luke Woodland pada minit kesembilan dan penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula pada minit ke-49, manakala gol tunggal Kedah disumbangkan pemain import dari Brazil, Fernando Rodriguez pada minit ke-31.

Dalam saingan Liga Perdana, Selangor United kekal di tangga keempat carta liga selepas menang tipis 2-1 ke atas Sabah 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dua gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Sergio Aguero pada minit ke-37 dan Fauzan Dzulkifli pada minit ke-70, manakala gol tunggal Sabah disumbangkan oleh Alto Linus pada minit ke-88.

Sementara Pulau Pinang dan UKM FC terpaksa berkongsi satu mata selepas seri 1-1 pada aksi di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.

UKM FC berjaya mendahului perlawanan menerusi Mateo Roskam pada minit ke-17, sebelum Julian Bottaro menyelamatkan maruah skuad Harimau Kumbang dengan gol penyamaan pada minit ke-63.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 1:20am
d