arena

Chong Wei tak sempat belanja Lin Dan

Oleh Esme Johari Wahab

PERSAHABATAN legenda badminton China, Lin Dan dan jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei tetap utuh biarpun mereka sudah lama tidak ‘bertentang raket’ di gelanggang.

Hakikat itu terbukti selepas Chong Wei memohon maaf kepada Lin Dan, hari ini kerana tidak sempat membawanya keluar makan sepanjang berada di Kuala Lumpur.

Apa menariknya, perbualan ringkas di podium itu ditulis pada laman Facebook Chong Wei selepas menyampaikan hadiah kejuaraan kepada Lin Dan selaku juara perseorangan Terbuka Malaysia 2019, hari ini.

Lin Dan menewaskan rakan senegaranya, Chen Long dalam saingan tiga set di Arena Axiata untuk kejuaraan keduanya.

Pemain handalan kidal China itu meraih gelaran sulung ketika menewaskan Chong Wei pada edisi 2017.

Perbualan pendek Chong Wei dengan Lin Dan berbunyi:

“Lin (LD): Adakah anda ok?

“Me (CW): Okay, maaf kali ini saya tidak dapat membawa awak keluar makan disebabkan jadual saya yang sibuk.

“LD: Tidak mengapa. Jadi, adakah awak akan sertai Terbuka Singapura?

CW: Tidak karib. Akan terus berlatih keras untuk pertarungan kita selepas ini. Mari kita mencapai kejayaan bersama,” menurut perbualan ringkas mereka berdua.

Chong Wei dua kali tewas kepada Lin Dan pada saingan perebutan pingat emas ketika final perseorangan Olimpik 2008 di Beijing dan Sukan Olimpik 2012 di London.

Disiarkan pada: April 7, 2019 @ 6:17pm
d