arena

Napoli gagal tunai hajat Juventus julang trofi lebih awal

Oleh AFP

JUVENTUS terpaksa menunggu seminggu lagi untuk meraikan kejuaraan kelapan berturut-turut Serie A selepas Napoli seri 1-1 dengan Genoa yang beraksi 10 pemain , awal pagi tadi.

Juara bertahan itu mempunyai jurang 20 mata mengatasi Napoli di tempat kedua dengan baki lagi tujuh perlawanan.

Juventus yang menewaskan AC Milan 2-1 semalam mengharapkan kejayaan Scudetto ke-35 lebih awal jika Napoli tewas sebagai pelonjak semangat menjelang aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Ajax awal pagi Khamis ini.

Keputusan seri menentang kelab kerdil SPAL minggu depan sudah cukup buat anak buah Massimiliano Allegri menjulang trofi yang juga kejuaraan sulung di Itali untuk Cristiano Ronaldo.

Napoli pula gagal memanfaatkan peluang ke atas Genoa yang muncul pasukan tunggal menewaskan Juventus musim ini bulan lalu.

Genoa beraksi 10 pemain apabila Stefano Sturaro dibuang padang pada minit ke-28 selepas reviu VAR mendapati dengan jelas dia mengasari Allan.

Dries Mertens meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-34 tetapi Darko Lazovic menyamakan kedudukan buat Genoa sebelum rehat menerusi rembatan di luar kotak penalti.

Penjaga gol Genoa Ionut Radu memastikan pasukannya tidak pulang hampa dengan beberapa aksi menyelamat hebat termasuk dua percubaan lewat Mertens dan Kalidou Koulibaly.

"Prestasi kami malam ini di luar jangkaan. Jika kami beraksi seperti ini London, kami akan berdepan masalah besar,” kata jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti menjelang aksi Liga Europa menentang Arsenal.

"Kami tidak boleh terus tidur, perlu bangkit dan pamer potensi sebenar. Kami ada empat hari lagi untuk memperbetulkan keadaan.”

Atalanta pula terlepas peluang naik ke tangga keempat dan merampas slot Liga Juara-Juara selepas hanya mampu seri 0-0 menentang Inter Milan di San Siro.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 7:13am
d