arena

Mane kini tidak lagi dibayangi Salah

Oleh AFP

SELEPAS dua musim dibayangi kehebatan Mohamed Salah di bahagian serangan, Sadio Mane kini muncul tonggak utama Liverpool untuk mengakhiri kemarau kejuaraan Liga Perdana dan naluri pemusnahnya sekali lagi ditagih ketika menentang Porto dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Anfield pada Khamis ini.

Sebelum Salah menamatkan kemarau gol dalam lapan perlawanan ketika menewaskan Southampton kelmarin, Mane tidak menghampakan dengan meledak 11 jaringan dalam 13 penampilan terakhir untuk keseluruhan 20 gol musim ini.

Jumlah itu termasuk dua jaringan ketika menyingkirkan juara lima kali Eropah, Bayern Munich di tempat lawan bulan lalu dan kini mengimpikan satu lagi kejayaan.

Jaringan pertama pemain berusia 26 tahun itu di Allianz Arena hasil gabungan kepantasan, kemahiran dan ketenangan di depan gawang lawan.

Mane lincah mengawal bola selepas mendapat hantaran jauh Virgil van Dijk, bijak memperdayakan Manuel Neuer dan kemudiannya merembat bola ke gawang yang kosong.

"Saya akan menontonnya 500 kali,” kata Klopp. “Apa yang dilakukannya cukup hebat.”

Mane menjaringkan 10 gol dalam kempen Liga Juara-Juara musim lalu termasuk di final tetapi tewas kepada Real Madrid dalam perlawanan yang dibayangi kecederaan bahu Salah.

Porto pula pasti tidak mahu mengulangi kekalahan di tempat sendiri musim lalu apabila gawang mereka dibolosi lima kali dengan Mane mencipta hatrik dalam perlawanan itu.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 12:27pm
d