arena

Marko, Piya dalam 'bahaya'

Oleh BERNAMA

KETUA jurulatih Kelantan, Marko Kraljevic dan pemain berpengalaman Mohd Badhri Mohd Radzi berada dalam situasi 'bahaya' selepas syarikat My Inspiration Sdn Bhd menarik diri daripada kerjasama pengurusan dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) minggu lepas.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, susulan penarikan diri syarikat terbabit, pihaknya perlu meneliti semula kontrak dua individu itu bersama pasukan Kelantan bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

"Kami kena teliti semula kontrak kerana gaji mereka dibayar syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd dengan jaminan syarikat My Inspiration.

"Pemain dan jurulatih itu dibawa masuk menyertai pasukan, mungkin kami boleh berunding untuk terus bersama pasukan atau memilih jalan terbaik untuk kebaikan kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan selepas hampir tiga bulan menandatangani perjanjian kerjasama dengan KAFA, syarikat terbabit mengambil keputusan untuk menarik diri kerana mendakwa tidak ada kesefahaman dalam perjanjian itu.

Syarikat My Inspiration menguasai 70 peratus saham dalam KRW Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkan menerusi kerjasama berkenaan bagi mengatasi kemelut kewangan dihadapi KAFA.

Bibi Ramjani berkata, pihaknya perlu menstrukturkan semula pengurusan persatuan selepas penarikan diri dilakukan pihak syarikat itu.

"Kami juga akan meneliti kontrak beberapa pemain lain yang terbabit dengan rundingan bersama My Inspiration sebelum menyertai pasukan.

"Kedudukan kewangan kami ketika ini bergantung kepada hasil kutipan tiket perlawanan, oleh itu pemain perlu bermain sebaik mungkin untuk meyakinkan penyokong datang ke stadium," katanya.

Sementara itu, Marko ketika dihubungi enggan mengulas berhubung khabar angin peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih Kelantan.

"Sekarang saya tidak boleh bercakap berkaitan perkara itu, beri sedikit masa kepada saya untuk menyelesaikan isu ini," katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 6:36pm
d