arena

Guna kelebihan aksi di laman sendiri: Oltmans

Oleh BERNAMA

MALAYSIA perlu menjuarai kejohanan pertama Hoki Siri Final Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2019 yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dari 26 April hingga 4 Mei ini.

Ia sekali gus mencerahkan harapan mereka pada peringkat seterusnya dalam aksi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua jurulatih skuad lelaki negara, Roelant Oltmans berkata, anak buahnya perlu mengambil kesempatan sebaik mungkin beraksi di tempat sendiri untuk mencatat keputusan positif pada kejohanan itu.

Pengendali kelahiran Belanda berusia 64 tahun itu mendedahkan pasukan di ranking ke-10 dunia, Kanada dan China (ke-14 dunia) menjadi ancaman utama kepada pasukan Malaysia untuk meraih tempat ke pusingan seterusnya dalam aksi kelayakan berkenaan.

“Penting untuk kita menamatkan saingan di kedudukan terbaik bagi mengelak berdepan pasukan di ranking tertinggi dan jika kita gagal melakukannya, kita dijangka bertemu pasukan hebat seperti England, Sepanyol atau New Zealand di pusingan seterusnya dalam aksi kelayakan.

“Kita perlu menunggu sehingga September untuk mengetahui lawan bakal kita hadapi jika kita menamatkan cabaran antara dua pasukan teratas pada kejohanan di Kuala Lumpur ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di Bukit Jalil hari ini.

Sehubungan itu, Oltmans berkata kesemua 28 pemain sangat teruja untuk beraksi di kejohanan berkenaan, sambil berkata senarai akhir pemain akan ditentukan pada 19 April ini.

“Kita akan beraksi satu perlawanan pemanas badan sebelum menghadapi kejohanan ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal menggesa peminat hoki tempatan agar memenuhi stadium berkenaan bagi memberi sokongan padu kepada skuad negara, sambil menyatakan masuk adalah percuma bagi menyaksikan kejohanan.

“Kita perlu menunjukkan kepada peminat tempatan kita mampu beraksi dengan baik pada kejohanan ini, dan saya bersama barisan exco KHM akan bersama-sama dengan pemain setiap masa bagi memastikan mereka dapat menampilkan aksi terbaik dan mencapai keputusan positif pada kejohanan ini,” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama China, Brazil dan Itali, manakala Kanada, Austria, Belarus dan Wales akan bersaing dalam Kumpulan A.

Mengikut format kejohanan, hanya dua pasukan teratas selepas menamatkan tiga kejohanan Hoki Siri Final FIH 2019 akan layak beraksi pada peringkat seterusnya dalam saingan kelayakan Sukan Olimpik.

Dua lagi kejohanan Siri Final FIH akan berlangsung di India dari 6 hingga 16 Jun, dan Perancis bermula 15 hingga 23 Jun depan.

Disiarkan pada: April 8, 2019 @ 10:57pm
d