arena

£100 juta 'murah sangat'

Oleh AFP

PENGENDALI Chelsea Maurizio Sarri mengakui sukar untuk menghalang perpindahan Eden Hazard ke Real Madrid musim panas ini biarpun nilai £100 juta (RM535.5 juta) dianggap ‘terlalu murah’ untuk kapten Belgium itu.

Hazard mempamerkan aksi memukau ketika Blues melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris apabila menjaringkan dua gol ketika menewaskan West Ham 2-0 awal pagi tadi.

Hazard mengakui jaringan pertamanya ‘sesuatu yang istimewa’ selepas berjaya mendapatkan bola di kawasan West Ham, menewaskan tiga pertahanan mereka sebelum meledak tepat ke gawang.

Bagaimanapun Chelsea mungkin terpaksa menjual aset bernilai mereka memandangkan pemain nombor 10 itu hanya mempunyai baki kontrak setahun dan setakat ini masih belum bersetuju melanjutkan kontrak.

Jika mereka enggan menjualnya musim panas ini, Chelsea mungkin kehilangan penjaring terbanyak mereka menerusi perpindahan secara percuma tahun depan.

“Ia (£100 juta) terlalu murah dalam pasaran! Kami sudah melihatnya pada musim perpindahan lalu,” kata Sarri.

“Saya pasti kelab tidak mahu menjualnya namun sudah pasti kami perlu menghormati keputusannya, saya fikir.

“Dia berada pada musim terakhir kontraknya, jika dia mahukan pengalaman lain, kita perlu hormatinya. Kami akan cuba sedaya upaya untuk memujuknya tetapi ia bukan mudah.”

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 10:44am
d