arena

Hadin yakin skuadnya tewaskan Kuala Lumpur

Oleh Asrol Awang

FELDA United FC mampu melakar kemenangan apabila melayan kunjungan skuad Kuala Lumpur di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Sabtu ini.

Kapten FELDA United FC, Hadin Azman berkata, walaupun tanpa kelibatnya bersama dua lagi rakannya dilayangkan kad merah bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), minggu lalu, semangat rakan sepasukannya dilihat tetap tinggi untuk berdepan cabaran pasukan ibu kota itu.

"Kita ada peluang untuk bangkit apabila bertembung The Hawks minggu ini, jadi saya percaya semua pemain sudah sedia mempamerkan aksi lebih baik.

"Ketiadaan saya dan Zahril Azri Zabri serta Thiago Aquino bukanlah bermaksud pasukan kami akan menyerah dengan mudah.

Saya yakin kemampuan rakan sepasukan yang ada dalam skuad musim ini," katanya.

Hadin, Zahril dan Aquino menerima kad merah ketika aksi menentang Harimau Selatan menyaksikan The Fighters tewas 1-3 dalam aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Mengulas layangan kad merah diterima dan dua pemain terbabit, Hadin berkata ia pengalaman berharga dan mencetus motivasi kepadanya bermain lebih baik selepas ini.

"Memang kecewa kad merah apatah lagi ini kali pertama saya menerima kad merah sejak bergelar pemain profesional tapi bagi saya ia pengalaman dan membuka ruang kepada saya untuk beraksi lebih berhati-hati dalam perlawanan seterusnya," katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 2:17pm
d