arena

Selangor salur insentif pada atlet para

Oleh Faliq Lajim

KERAJAAN Selangor menyalurkan insentif berjumlah RM71,730 kepada atlet para negeri yang berjaya meraih pingat pada Para SUKMA XIX Perak tahun lalu. Insentif itu diberikan sebagai penghargaan sekali gus menaikkan semangat mereka dan barisan jurulatih untuk menjadi yang terbaik dalam sebarang kejohanan sukan membabitkan Orang Kurang Upaya (OKU).

Muhammad Amirul Alif Abdul Raof, 24 dinobatkan sebagai atlet terbaik selepas berjaya merangkul dua pingat emas dan satu perak dalam sukan olahraga acara lempar cakera, rejam lembing dan lontar peluru.

Malah, dia berjaya memecahkan rekod para Sukma dalam lempar cakera dengan catatan 18.45 meter sekali gus memadam rekod lama acara berkenaan iaitu 16 meter.

Dia yang menderita cedera saraf tulang belakang (spinal cord injury) sejak berusia empat tahun akibat kemalangan dan terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda tidak menyangka dengan pencapaiannya dalam temasya sukan itu. "Saya baru saja terbabit dalam sukan olahraga setahun lalu dan terlebih dulu bermain tenis berkerusi roda dan angkat berat.

"Namun, pembabitan saya dalam sukan itu kurang menyerlah sebelum menceburi acara olahraga. Saya memang tidak sangka boleh menang sekali gus memecah rekod dalam lempar cakera.

"Saya bersyukur menerima insentif ini yang dianggap permulaan kepada kejayaan lebih besar untuk kami," katanya ketika ditemui Harian Metro pada majlis itu, petang tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Mohd Khairuddin Othman; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor, Sabran Abd Bahar dan Presiden Persatuan Sukan Orang Kurang Upaya (PESRON), Shahidon Hanafiah. Kontinjen Selangor berjaya mengumpul 61 pingat keseluruhan dengan 17 emas, 17 perak dan 27 gangsa pada Para SUKMA XIX dengan menduduki tempat kelapan.

Pemenang pingat emas menerima wang tunai sebanyak RM1,500, perak (RM1,000) dan gangsa (RM700), manakala atlet serta pengurus terbaik masing-masing membawa pulang RM500.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, pencapaian Selangor dalam temasya itu dilihat semakin meningkat dan semangat tinggi atlet termasuk jurulatih serta pengurus layak untuk dihargai.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 7:27pm
d