arena

JDT pilih laluan sukar

Oleh Syazwan Msar

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menempuh laluan berliku apabila tewas kepada Shandong Luneng 1-2 pada aksi ketiga Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Pusat Sukan Olimpik Jinan, sebentar tadi.

Walaupun tewas kepada Shandong, pujian harus diberikan kepada skuad kendalian Benjamin Mora apabila berjaya menguasai hampir 90 minit perlawanan walaupun terpaksa berhadapan dengan ribuan penyokong tuan rumah.

Separuh masa pertama menyaksikan Shandong Luneng terlebih dahulu melancarkan serangan ke kubu lawan namun penyudah yang lemah gagal membolosi gawang JDT.

Pelawat yang dilihat lebih menguasai perlawanan gagal merencanakan serangan berbahaya ke kubu lawan seolah-olah hilang arah apabila berada di kawasan kubu tuan rumah.

Namun, tuan rumah dilihat lebih bijak mengambil peluang apabila bekas pemain Manchester United, Marouane Fellaini berjaya menanduk gol pertama hasil umpanan Junmin Hao pada minit 30.

Ketika, JDT berusaha menyamakan kedudukan, Shandong dihadiahkan sepakan penalti selepas Mohamad Adil Zafuan mengasari Graziano Pelle untuk kedudukan 2-0 pada minit 39.

Separuh masa kedua menyaksikan skuad kendalian Li Xiaopeng memperlahankan rentak permainan sekali gus kurang melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Kesilapan percaturan itu sekali gus digunakan oleh JDT untuk terus melancarkan serangan berbahaya apabila berjaya menjaringkan gol cantik menerusi Safawi Rasid pada minit 59 untuk kedudukan 2-1.

Gol berkenaan seakan memberi tonik kepada skuad Harimau Selatan untuk melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan namun penyudah tumpul menyebabkan JDT gagal memperoleh sebarang gol.

Peluang terbaik JDT untuk sekurangnya mencuri satu mata hadir pada masa tambahan namun rembatan Gonzalo Cabrera dari luar kotak penalti terkena tiang sekali gus menafikan gol penyamaan pasukan pelawat.

Keputusan kekal hingga wisel penamat dengan JDT sekurangnya perlu menang pada tiga lagi baki perlawanan untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan kedua ACL.

Mengikut rekod, JDT kini menghuni tangga tercorot kumpulan E bersama Kashima Antlers(Jepun), Gyeongnam FC (Korea Selatan) dan Shandong Luneng (China).

JDT bakal berdepan dengan Shandong Luneng pada 24 April nanti di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor.

Disiarkan pada: April 9, 2019 @ 10:13pm
d