arena

Bukan salah pemain

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad & Saiful Affendy Sapran

BUKAN soal pemain atau jurulatih tidak bagus, sebaliknya pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu dirombak dan diganti oleh mereka yang pakar dengan sukan itu.

Itu pandangan bekas perseorangan utama negara, Ong Ewe Hock ketika diminta mengulas prestasi mengecewakan skuad badminton negara pada Terbuka Malaysia.

Menurutnya, pencapaian pemain negara pada Terbuka Malaysia yang berakhir Ahad lalu jelas membuktikan mereka masih jauh ketinggalan dengan pemain negara lain.

“Biar keputusan berbicara sendiri, kalau juara baguslah. Nampaknya kita masih jauh untuk bersaing dengan pasukan lain.

“Saya berpendapat, kita kena bagi orang yang tahu badminton uruskan BAM, bukan pemain atau jurulatih tidak bagus.

“Satu lagi masih ada pegawai yang sudah 20 tahun berada dalam BAM masih kekal. Mereka ini patut digantikan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau memberikan contoh kejayaan pasukan badminton China membuat kemunculan semula kini dengan pelantikan bekas juara beregu campuran Sukan Olimpik Athens dan Sydney, Zhang Jun sebagai Presiden Persatuan Badminton China awal tahun ini.

“Jika BAM bagus mengapa ramai bekas pemain yang jadi jurulatih badminton berhijrah ke luar negara dan tidak kekal melatih pasukan negara.

“Kalau pergi pasal gaji tinggi, jadi standard Malaysia kena tinggilah. Tapi mereka pergi ke luar negara ketika prestasi badminton kita menurun. Jika pergi ketika badminton Malaysia sedang memuncak, ia memang bagus.

“Selain itu, saya lihat tidak banyak tempat untuk jurulatih ini menyumbang khidmat hingga terpaksa ke luar negara. Ini yang perlu dikaji,” katanya lagi.

Menurutnya, sekiranya standard jurulatih Malaysia rendah, masakan negara luar sanggup menggunakan khidmat mereka.

“Saya sendiri ada bercakap dengan Tan Kim Her (jurulatih badminton Jepun) yang sebenarnya lebih berminat berkhidmat dalam negara kerana perbezaan budaya termasuk soal makanan,” katanya.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, tidak adil menilai prestasi pemain negara hanya pada Terbuka Malaysia saja.

“Sebab kalau anda lihat tahun ini waktu untuk memperkenalkan pemain muda.

“Ia selepas pemain senior meninggalkan kami selain Datuk Lee Chong Wei berehat seketika kerana masalah kesihatan. Kalau anda lihat pada kejohanan lain seperti Masters Thailand dan Seluruh England, ada peningkatan daripada pemain muda,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 8:42am
d