arena

Samantha kembali perkuat Australia

Oleh AFP

BEKAS juara Grand Slam Samantha Stosur kembali dipanggil untuk menyertai Australia untuk aksi separuh akhir Piala Fed menentang Belarus ketika negara itu mengejar kejuaraan pertamanya sejak 1974.

Juara Terbuka Amerika Syarikat itu yang menarik diri daripada kejohanan itu tahun lalu susulan masalah kecergasan dan prestasi akan memberikan pengalaman buat pasukan yang diketuai pemain nombor sembilan dunia Ashleigh Barty.

Daria Gavrilova dan Priscilla Hon turut terpilih untuk menyertai kejohanan itu yang diadakan pada 20 dan 21 April di Pat Rafter Arena, Brisbane.

Samantha dijangka beraksi dalam acara beregu tetapi juga memegang rekod sebagai pemain Australia terbanyak memenangi acara individu di Piala Fed.

Belarus masih belum menamakan pasukan mereka tetapi dijangka diketuai pemain nombor 10 dunia Aryna Sabalenka, juara Terbuka Australia dua kali Victoria Azarenka dan pemain nombor 35 dunia Aliaksandra Sasnovich.

“Dia (Ashleigh) adalah antara pemain terbaik Piala Fed di dunia dengan kemampuan beraksi dalam acara perseorangan dan beregu, juga seorang pemimpin yang hebat serta aset kepada pasukan,” kata kapten Alicia Molik.

“Kami juga teruja melihat Sam kembali bersama pasukan, dia mempunyai rekod Piala Fed yang kuat dan keputusan dalam acara beregu sukar ditandingi, manakala Dasha dan Pri juga pemain pasukan yang bagus.

Australia memburu tiket ke final Piala Fed buat kali pertama sejak 1993 dan menjulang piala itu dengan menewaskan Amerika Syarikat pada 1974.

Satu lagi perlawanan separuh akhir membabitkan Perancis dan Romania.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 12:32pm
d