arena

McIlroy intai takluk Masters

Oleh AFP

RORY McIlroy berada pada tahap terbaiknya ketika menjejakkan kaki ke Augusta National dengan misi memburu pelengkap gelaran Grand Slam namun Tiger Woods yang tampil dengan semangat baharu mungkin ada sesuatu yang ingin diperkatakan mengenai peluang bintang Ireland Utara itu untuk menjulang Masters.

“Saya tidak fikir saya memulakan musim ini dengan baik dari aspek penyudah, juga mempunyai statistik yang baik tetapi melihat kepada statsitik, ia setanding dengan yang terbaik pernah saya capai,” kata McIlroy yang mencatat tujuh kejayaan dalam kelompok 10 terbaik tahun ini termasuk menjuarai Kejuaraan Pemain-Pemain bulan lalu.

Dia berada dalam kelompok 10 terbaik Masters sejak empat tahun lalu, termasuk berkongsi tangga kelima di belakang pemain Amerika Syarikat Patrick Reed tahun lalu.

Dengan lebih daripada sedekad pengalaman di lapangan di mana keupayaan mengenali lapangan adalah kuncinya, maka tiada sebab untuk dia tidak menjadi pemain keenam menjulang keempat-empat gelaran utama golf profesional.

“Saya sudah mendapatkan skor yang baik di sini sejak beberapa tahun lalu dan jika saya boleh melakukan yang terbaik, saya berpeluang untuk cemerlang di sini,” kata McIlroy.

Ramai dalam kalangan rakan sepermainannya bersetuju dengan kenyataannya.

“Rory mempamerkan aksi golf luar biasa,” kata pemain Sepanyol Jon Rahm.

“Maksud saya dia mempamerkan aksi golf terbaiknya sejak sekian lama. Permainan yang baik dan kelihatannya puttingnya jauh lebih baik.

“Jika Rory membuat pukulan seperti itu dengan putt yang bagus memang sukar untuk menewaskannya.”

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 1:01pm
d