arena

Spurs menang, Kane malang

Oleh Reuters

KEGEMBIRAAN Tottenham Hotspur menewaskan Manchester City 1-0 pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi tadi dibayangi kecederaan Harry Kane yang mungkin menghalangnya beraksi sehingga akhir musim ini.

Kane, yang menjaringkan 24 gol musim ini, memegang buku lalinya dengan kesakitan sebelum sejam perlawanan selepas melakukan terjahan ke atas pertahanan City Fabian Delph.

Penyerang England itu meninggalkan padang serta merta dan dikhuatiri tidak dapat beraksi untuk perlawanan kedua di Manchester.

Dia juga mungkin terlepas baki aksi Tottenham musim ini, selepas beberapa bulan mengisi bangku simpanan akibat kecederaan pada buku lali yang sama Januari lalu apabila ligamennya terkoyak.

“Kami sedih dan kecewa. Kami akan merinduinya, mungkin untuk baki musim in dan kami bimbang akannya. Dia tidak mempunyai banyak masa untuk pulih,” kata pengendali Tottenham Mauricio Pochettino.

“Kita akan lihat dalam tempoh beberapa hari. Kami hanya boleh menunggu dan berharap dia dapat pulih secepat mungkin tetapi ia tidak kelihatan bagus.”

Pochettino memarahi Delph selepas insiden itu di mana pemain City itu dilihat memijak buku lali Kane ketika kedua-duanya merebut bola.

“Dia sungguh agresif terhadap Kane selepas kejadian itu,” kata Pochettino.

“Saya cuba menjelaskan kepadanya bahawa bukan niat dia atau Harry untuk mencederakan satu sama lain tetapi tindakan itu keras dan buku lali Harry terseliuh.

“Saya katakan kepada Delph, ‘Anda bernasib baik’ kerana mereka melihat VAR dan secara teknikalnya ia ia mungkin kad merah. Namun saya fikir kedua-duanya merebut bola.”

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 1:08pm
d