arena

Jenazah Arie 'sudah pulang' [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

JENAZAH pemain golf profesional negara, Muhammad Arie Irawan Ahmad Fauzi selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, jam 11.45 pagi tadi.

Difahamkan pesawat ditempah khas membawa jenazah Allahyarham itu berlepas jam 3 pagi dari China.

Sejurus selesai proses dokumentasi, jenazah kemudiannya dibawa ke rumahnya di No 5, TAR Villas, Jalan TAR Villas, Ampang jam 12.30 tengah hari dengan diiringi polis trafik.

Selain ahli keluarga turut berada di Terminal SkyPark menunggu ketibaan jenazah Arie adalah Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Majlis Sukan Negara, Abdul Rashid Yaakub dan rakan pemain golf profesional.

Majlis pengebumian dijadual selepas solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Sementara itu, seorang rakan arwah, Wilson Choo yang juga pemain golf profesional berkata, pemergian Arie amat mengejutkan.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu ketika Kejohanan Maybank di Kelab Golf Saujana & Country, Shah Alam bulan lalu.

“Bagi saya dia seorang yang amat meminati sukan golf dan pemain yang sangat fokus.

“Dia sentiasa berusaha kuat untuk berjaya dalam golf,” katanya.

Wilson berkata, sepanjang mengenali dan bertanding dalam kejohanan, tidak pernah arwah menunjukkan dia menghidap sebarang penyakit.

Ahad lalu, dunia golf digemparkan apabila Arie yang sedang menyertai Kejohanan Sanya di China ditemui tidak sedarkan diri oleh rakan sebiliknya, Kevin Techakanokboon sebelum pakar perubatan yang tiba mengesahkan dia meninggal dunia di hotel penginapan di Sanya, selatan Hainan.

Sebagai menghormati pemergian arwah, pusingan akhir kejohanan itu dibatalkan penganjur dengan Trevor Sluman diumum pemenang selepas mendahului hingga pusingan ketiga.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 2:43pm
d