arena

Pelucchi ungguli peringkat kelima

Oleh Azlan Muhammad Zain

PELUMBA Androni Giocattoli -Sidermec, Matteo Pelucchi menjuarai peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berakhir di Dataran Warisan, Taiping sebentar tadi.

Dia mencatat masa empat jam 27 minit 11 saat selepas memulakan perlumbaan dari Proton City di Tanjung Malim sejauh 200.1km.

Tempat kedua diraih Blake Quick dari St George Continental Cycling Team diikuti Travis McCabe dari Floyd's Pro Cycling.

Tempat keempat diraih pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh selepas perlumbaan berakhir dalam kelompok besar.

Manakala Mr Langkawi dari Bardiani-CSF, Andrea Guardini tidak berada dalam senarai 15 pelumba terbaik.

Bagaimanapun, Jersi Kuning PETRONAS kekal milik pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Benjamin Dyball dengan mengumpul 21 jam 52 minit 53 saat.

Jersi Hijau Raja Pecut menjadi milik Travis McCabe dari Floyd's Pro Cycling dengan 58 mata.

Manakala Jersi Merah selaku Raja Bukit terus dipegang Angus Lyons dari Oliver's Real Food dengan 47 mata.

Jersi Putih bagi pelumba terbaik Asia milik Vadim Pronskiy dari Vino Astana Motors dengan mengumpul 21 jam 53 minit 58 saat. Peringkat keenam akan berlangsung esok dari Bagan ke Alor Setar sejauh 130.8km.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 6:08pm
d