arena

Super KIP sedia 'layan' selekoh Litar Americas

Oleh Saiful Affendy Sapran

PEMBURUAN mata terus menjadi sasaran pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi pada pusingan ketiga Grand Prix Amerika Syarikat (AS) hujung minggu ini.

Meskipun mengakui Litar Americas salah satu litar sangat mencabar, namun kejayaan meraih tiga mata berharga pada pusingan kedua di GP Argentina meningkatkan keyakinan pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu.

"Litar of The Americas salah satu litar paling sukar musim ini. Bahagian pertama litar itu sangat teknikal dan tahun lalu saya sendiri dapat merasai kesukarannya.

"Sasaran saya pada minggu ini untuk meraih mata selain memperbaiki kedudukan pada sesi kelayakan bagi membolehkan kami bermula di kedudukan terbaik pada perlumbaan sebenar.

"Jentera nampak cukup berpotensi di Argentina. Saya yakin kami dapat mengulanginya apabila beraksi di Austin," katanya.

Khairul atau Super KIP berkata, tempoh rehat selama dua minggu selepas GP Argentina turut membantunya untuk lebih bersedia menghadapi GP Amerika.

"Selepas GP Argentina kami terus ke AS untuk terus menjalani latihan bersama pasukan. Ia juga membolehkan kami untuk berehat sebentar dan kini lebih bersedia menghadapi pusingan ketiga," katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 7:56pm
d