arena

Dyball kekal kelebihan 27 saat

Oleh Azlan Muhammad Zain

PENYARUNG Jersi Kuning PETRONAS, Benjamin Dyball masih ‘kebal’ dengan kelebihan 27 saat selepas berakhir peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) hari ini.

Dyball menamatkan perlumbaan dalam kelompok besar pelumba di Dataran Warisan, Taiping bagi membolehkan dia mengekalkan kelebihan 27 saat selepas menang di Genting Highlands semalam.

Pelumba Team Sapura Cycling (TSC) itu mengumpul 21 jam 52 minit 53 saat selepas lima peringkat pada edisi ke-24 tahun ini.

Kedudukan kedua Jersi Kuning PETRONAS diekori rapat pelumba Interpro Cycling Academy, Hernan Aguirre Calpa mengumpul 21'53:20s manakala ketiga Keegan Swirbul dari Floyd's Pro Cycling dengan masa 21'53:43.

Dyball lega perlumbaan berakhir dalam kelompok besar sekali gus kelebihan 27 saat kekal bagi menghadapi peringkat keenam esok.

"Baki tiga peringkat lebih pendek, saya dan rakan sepasukan akan berusaha mengekalkan jersi. Lega apabila peringkat panjang hari ini sudah berakhir," katanya.

Peringkat kelima sejauh 200.1 kilometer dari Tanjung Malim berakhir dengan kemenangan memihak kepada Matteo Pelucchi dari Androni Giocattoli-Sidermec dengan masa empat jam 27 minit 11 saat.

Saingan LTdL akan bersambung peringkat keenam dari Bagan ke Alor Setar sejauh 130.8km.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 9:14pm
d