arena

Liverpool mampu julang trofi berganda - Van Dijk

Oleh AFP

VIRGIL van Dijk berkata, Liverpool mampu menjuarai Liga Perdana dan Liga Juara-Juara selepas menewaskan Porto dalam aksi suku akhir pertama saingan paling berprestij Eropah itu.

Naby Keita dan Roberto Firmino menjaringkan gol dalam tempoh 26 minit pertama di Anfield untuk kemenangan 2-0 skuad Jurgen Klopp.

Bagaimanapun, Porto tetap memberi tentangan sengit tidak seperti tahun lalu ketika mereka mudah dibelasah 5-0 di tempat sendiri oleh Liverpool.

Van Dijk tahu mereka perlu memperbaiki prestasi menjelang aksi peringkat kedua minggu depan kerana menyedari bekalan dua gol bukan jaminan untuk The Reds mara ke peringkat seterusnya.

"Kami tahu perlawanan akan menjadi lebih sukar dan menjaringkan dua gol sangat penting tetapi mengelak gawang daripada dibolosi jauh lebih penting,” katanya.

Kemenangan itu menyalakan impian Liverpool untuk meraih kejuaraan berganda, mereka kini mendahului Manchester City dengan dua mata dalam Liga Perdana dan Van Dijk yakin mereka mampu menjulang dua trofi.

"Kami perlu lebih yakin. Ini adalah masa yang hebat buat kami. Ada sembilan lagi perlawanan keseluruhannya dan harapnya semua menjadi seperti yang diharapkan,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2019 @ 10:13pm
d