arena

Selesaikan segera

Oleh Syazwan Msar

PERSATUAN Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mahu individu yang bertanggungjawab melakukan ‘kerosakan’ sehingga bekas pemain empat kelab Liga Malaysia (Liga M) menanggung masalah tunggakan gaji tampil untuk menyelesaikan masalah terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Izham Ismail berkata, individu berkenaan seharusnya tidak lepas tangan dengan meletak jawatan atau berpindah ke pasukan lain bagi menutup kesalahan itu.

Katanya, tindakan terbabit boleh merosakkan mutu bola sepak negara selain menganiaya pemain apabila rata-rata daripada mereka terpaksa melakukan pekerjaan lain atau mengharap belas ihsan untuk meneruskan kehidupan.

“Kami menggesa supaya pihak yang menjadi punca kepada berlakunya tunggakan ini segera tampil dan bertanggungjawab atas apa yang sudah dilakukan sebelum ini.

“Jangan lepas tangan dan merasakan peletakan jawatan atau berpindah ke pasukan lain adalah jalan penyelesaian. Gejala inilah yang merosakkan bola sepak Malaysia, dan sekiranya masih tiada tindakan susulan daripada individu berkenaan, sesuatu harus dilakukan ke atas mereka” katanya kepada Arena Metro.

Semalam, Arena Metro melaporkan tiga individu yang bertanggungjawab ke atas kerosakan empat kelab ghaib, Hanelang FC, TCFC, Marcerra United dan Kuantan FA, hingga bekas jurulatih dan pemain tidak menerima bayaran gaji tertunggak hampir RM5 juta sejak tiga tahun lalu, adalah daripada golongan kenamaan (VIP).

Mereka dikenali dengan pelbagai nama termasuk Datuk M, Tuan T dan Tuan Muda.

Individu terbabit didapati mempunyai kaitan dengan kelab yang tidak lagi beraksi dalam Liga M selepas digantung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akibat masalah tunggakan gaji.

Sementara itu, Izham berkata, pihaknya masih lagi berusaha membantu bekas pemain kelab berkenaan termasuk Perlis untuk mendapatkan hak mereka walaupun ada antara kes berkenaan sudah berlanjutan sejak setahun lalu.

Katanya, ahli gabungan yang terdiri daripada persatuan bola sepak negeri harus lebih bertanggungjawab dengan memberikan kerjasama mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji itu.

“Jika diikutkan ahli gabungan perlu peka dengan masalah ini dan harus memberikan ruang untuk perbincangan menyelesaikan isu tunggakan gaji,” katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 8:03am
d