arena

Duit jualan tiket selesai gaji pemain

Oleh Attirmidzie Rahman

PENJUALAN tiket perlawanan menjadi sumber pembayaran gaji pemain Kelantan bermula April sehingga penghujung musim ini.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Lembaga Pengarah Kelantan Red Warriors, Syed Abdullah Syed Mahmood yang mahu memastikan hasil penjualan tiket digunakan secara berhemah khususnya untuk menyelesaikan gaji pemain skuad Liga Perdana Kelantan.

Katanya, ia adalah langkah awal bagi pihak pengurusan dalam menyelesaikan gaji pemain sementara menanti kemasukan beberapa penaja baharu pasukan bagi musim ini.

"Dalam hal ini, penyokong pasukan perlu bersama membantu pengurusan dengan hadir ke stadium membeli tiket perlawanan dan menyaksikan pemain pada setiap perlawanan selepas ini.

"Saya yakin dengan RM12 (harga) tiket (terbuka) yang dibayar penyokong menyumbang kepada dana pengurusan untuk membayar gaji pemain buat sementara waktu.

"Kita ada tiga perlawanan skuad ini di Kota Bharu dalam masa terdekat dan penyokong perlu membantu dengan hadir menyaksikan perlawanan terbabit kerana secara tidak langsung mampu menyelesaikan beberapa masalah membabitkan kewangan pasukan," katanya di Kota Bharu, hari ini.

Pasukan Kelantan dilanda dengan krisis kewangan apabila sebuah syarikat swasta menarik diri daripada mengurus pasukan pada 4 April lalu.

Kini, pasukan itu ditadbir urus semula oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) demi memastikan Kelantan terus beraksi dalam saingan liga.

Dalam perkembangan sama, Syed Abdullah memberitahu beliau sedang menarik minat beberapa syarikat dan ahli perniagaan untuk menjadi penaja pasukan demi menstabilkan kantung pasukan.

"Ada beberapa syarikat yang saya temui dan berbincang untuk membantu pasukan Kelantan.

"Saya amat berharap pasukan ini kembali stabil dan mendengan sokongan penyokong semoga dapat memberi lagi kekuatan kepada pihak pengurusan dan pemain untuk terus berjuang," katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 3:26pm
d