arena

Lang Merah tak rela...

Oleh Izzali Ismail

KEDAH tidak mahu kecewa melayan kunjungan Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, esok.

Ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar berkata, skuadnya mahu bangkit selepas seri dua perlawanan di Stadium Darul Aman sebelum ini.

"Kami mahu menang dan kutip tiga mata menentang skuad TFC dan menjangkakan perlawanan kali ini sengit seperti perlawanan lain."

“Hanya kemenangan merapatkan jurang selepas Kedah ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kedah kini menghuni tangga ketiga dengan 12 mata, enam mata di belakang Pahang (18) manakala JDT, 20.

Kedah melalui empat perlawanan tanpa kemenangan dalam aksi Liga Super.

"Kami tidak mahu rugi terlepas peluang selepas gagal dapat tiga mata dalam beberapa perlawanan 'panas' sebelum ini.

"Pertemuan menentang Terengganu FC kali merupakan cabaran hebat.

‘Pemain mengharapkan penyokong akan hadir untuk memberi sokongan moral kepada Kedah," katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 3:53pm
d