arena

Messi, Messi, Messi kata ibu Lukaku... [VIDEO]

Oleh Agensi/Twitter/Esme Jo Intermezzo

ANAKNYA superstar Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi dia lebih berminat kepada pemain bintang beraksi dalam La Liga Sepanyol.

Keadaan itu dapat dilihat apabila Adolphine, ibu kepada pemain Manchester United, Romelu Lukaku nyata begitu gembira dapat bertemu pemain handalan Barcelona, Lionel Messi.

Rakaman video menunjukkan Adolphine Lukaku seperti tidak percaya melihat pemain lincah itu berada di depan matanya di Old Trafford, Manchester, kelmarin.

Messi menjadi sebahagian skuad Barca yang menang 1-0 pada saingan suku akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Manchester United di tempat lawan.

Adolphine ketawa seperti kanak-kanak perempuan ketika bergambar bersama dan sempat memeluk pemain Argentina itu.

Dia turut menyebut 'Messi, Messi, Messi' sebagai penghargaan sambil mengelengkan kepala.

Bagaimanapun, ia detik perlu dinilai semula oleh Messi selepas perlawanan menentang United.

Pemain berusia 31 tahun itu yang beraksi di bawah tahap sebenar, mengalami kecederaan hidung dan mata berdarah selepas disiku di bahagian muka oleh Chris Smalling.

Dia berharap kembali beraksi dengan lebih baik pada perlawanan kedua di Nou Camp selepas ini.

Disiarkan pada: April 12, 2019 @ 8:05pm
d