arena

Valverde bagi Messi rehat

Oleh AFP

LIONEL Messi mungkin antara beberapa pemain direhatkan Barcelona tatkala pasukan kendalian Ernesto Valverde memberi tumpuan kepada perlawanan kedua saingan Liga Juara-Juara menentang Manchester United.

Valverde berkata, Messi kemungkinan direhatkan ketika kunjungan pasukan itu menentang pasukan terbawah La Liga, Huesca selepas pelanggaran dengan pemain United, Chris Smalling pada Khamis menyebabkan pemain Argentina itu mengalami lebam di pipi dan hidung.

“Ia ada kemungkinan,” kata Valverde, apabila ditanya mengenai peluang Messi direhatkan pada perlawanan hujung minggu ini.

“Dia dalam keadaan baik tetapi ia adalah pelanggaran yang kuat. Dia mengalami kesan sehari selepas kejadian dan ketika perlawanan itu ia seolah-olah seperti di langgar lori. Kami akan menganalisa keadaannya selepas ini namun ia ada kemungkinan.”

Gol sendiri Luke Shaw membolehkan Barca mencatat kemenangan 1-0 di Old Trafford dan mereka mempunyai sedikit kelebihan pada perlawanan timbal balik minggu depan, malah Barcelona kini selesa dengan 11 mata di puncak La Liga.

Kevin Prince-Boateng dan Jeison Murillo, yang jarang diberi peluang beraksi sejak menyertai pasukan itu pada Januari lalu mungkin diberi peranan tatkala Ousmane Dembele dijangka membuat kemunculan pertama dalam sebulan selepas pulih dari kecederaan hamstring.

“Mungkin ada pertukaran esok kerana jadual perlawanan begitu padat,” kata Valverde.

“Satu lagi perlawanan penting menanti kami esok dan kemudian Selasa, jadi kami melakukan pertukaran.”

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 12:26am
d