arena

'Bukan 100% salah pemain'

Oleh Ferzalfie Fauzi

KUALA LUMPUR: Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek menganggap pencapaian pemain negara di Terbuka Malaysia minggu lalu perlu dilihat dengan lebih menyeluruh dan bukan hanya menyalahkan satu pihak.

Beliau yang juga pemenang pingat gangsa di Sukan Olimpik Atlanta 1996 berkata, apa yang terjadi di kejohanan berkenaan perlu diperhalusi satu demi satu, membabitkan pemain, latihan, jurulatih serta pihak pengurusan.

“Kadang-kadang kita tidak boleh tuding kepada satu arah saja. Kita kena tengok balik kenapa boleh jadi seperti ini. Hendak salahkan pemain 100 peratus pun tidak adil,” katanya ketika ditemui.

Menurut Rashid kalau hendak salahkan jurulatih, ada waktu dan ketika pemain pula seperti tidak bersemangat.

“Jadi, kita perlu tengok apa punca sebenarnya dan saya lihat ada sesetengah pemain kita di kejohanan berkenaan memang beraksi dalam tekanan.

“Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik misalnya memang beraksi dalam tekanan selepas mereka layak ke Seluruh England baru-baru ini. Saya lihat mereka langsung tidak boleh beraksi dengan baik,” katanya.

Rashid yang pernah membantu skuad negara menjulang Piala Thomas pada 1992 juga mengakui semua pihak harus melihat kepada sudut positif dan mencari jalan bagaimana untuk menaikkan semula tahap badminton negara serta mengekalkannya agar terus konsisten.

Terdahulu, seorang lagi bekas pemain perseorangan lelaki negara, Datuk James Selvaraj menyelar sikap sesetengah pemain negara yang tidak mampu beraksi baik di gelanggang sendiri di Arena Axiata minggu lalu.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 7:00am
d