arena

TSC pastikan Jersi Kuning PETRONAS kekal di Malaysia

Oleh Azlan Muhammad Zain

MARCO Benfatto dari Androni Giocattoli-Sidermec menjuarai peringkat terakhir edisi ke-24 Le Tour de Langkawi (LTdL) di Pekan Kuah sebentar tadi.

Manakala rakan sepasukan, Matteo Pelucchi ketiga dengan Blake Quick dari St George Continental Cycling Team di kedudukan kedua dalam perlumbaan peringkat kelapan yang bermula di Dataran Lang dan berakhir di Pekan Kuah sejauh 103.8km dalam tempoh dua jam 17 minit 42 saat.

Bagaimanapun, tumpuan peringkat kelapan terarah kepada Team Sapura Cycling (TSC) yang memastikan juara jersi PETRONAS kekal di Malaysia buat tahun kedua berturut-turut selepas kejayaan Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG).

Pelumbanya dari Australia, Benjamin Dyball memastikan gelaran juara individu keseluruhan selepas berakhir peringkat kelapan di Pekan Kuah sebentar tadi.

Dia mengumpul 29 jam 15 minit 53 saat selepas mengharungi lapan peringkat perlumbaan sekali gus kali kedua pelumba dari Australia bergelar juara Jersi Kuning PETRONAS selepas Damian McDonald dari pasukan Giant-Ais melakukannya di edisi pertama pada 1996.

Gelaran Raja Pecut bagi Jersi Hijau PETRONAS menjadi milik pelumba Floyd's Pro Cycling, Travis McCabe apabila mengumpul 91 mata.

Jersi Raja Bukit (Merah) Angus Lyons dari Oliver's Real Food Racing yang diraih sejak peringkat pertama sah menjadi miliknya dengan 59 mata.

Pelumba terbaik Asia bagi Jersi Putih menjadi milik Vadim Pronskiy dari Vino-Astana Motors dengan masa 29'16:58s.

Bagi kategori berpasukan keseluruhan Floyd's Pro Cycling muncul juara selepas barisan pelumbanya mengumpul masa 87'54:20s manakala Vino-Astana Motors muncul juara berpasukan kategori Asia dengan masa 87'59:19s.

Muhammad Zawawi Azman dari TSC pula dinobatkan pelumba terbaik Malaysia dengan 29'21:41s.

Edisi ke-24 LTdL membabitkan 22 pasukan sejauh 1234km yang bermula pada Sabtu lalu.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 5:40pm
d