arena

Kerja keras TSC berbaloi

Oleh Azlan Muhammad Zain

DETIK sukar awal musim akhirnya memberikan kejayaan terbesar kepada Team Sapura Cycling (TSC) apabila menjuarai Jersi Kuning PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-24, petang tadi.

Pelumba pasukan benua dari Australia, Benjamin Dyball memastikan gelaran juara individu keseluruhan dengan masa 29 jam 15 minit 53 saat berkelebihan 50 saat berbanding pencabar terdekat Keegan Swirbul dari Floyd's Pro Cyling.

Malah TSC yang ditubuhkan tiga tahun lalu turut bergelar naib juara kategori berpasukan keseluruhan, ketiga Jersi Merah Raja Bukit (Dyball), pelumba terbaik Malaysia (Muhammad Zawawi Azman) dan dua kemenangan peringkat menerusi Marcus Culey (pertama) dan Dyball (keempat).

"Sejak awal tahun kami terpaksa bekerja keras apabila mendapat dana lewat. Kami bergelut sehingga terpaksa bekerja dua kali ganda terutamanya mekanik apabila TSC menyertai perlumbaan secara berturut-turut.

"Malah ada perlumbaan yang kami terpaksa pujuk penganjur dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi penginapan dan tiket kapal terbang demi persiapan LTdL. Bagi menguji dan memastikan mereka di tahap terbaik dan saya anggapnya berbaloi dengan kejayaan besar ini," kata Prinsipal TSC, Sayuti Zahit.

Dyball sememangnya berada di tahap terbaik sebelum LTdL apabila menduduki tempat ketiga Jersi Kuning Tour of Tochigi serta menjuarai Kejohanan Lebuhraya Oceania 2019 bagi acara ujian masa dan lepas beramai-ramai.

Kemuncaknya mempamerkan kejaguhannya di LTdL apabila menguasai pendakian paling penting di Genting Highlands.

Kemenangan pada Peringkat 4 di Genting Highlands jelas membawa tuah buat Dyball yang bekerja keras untuk mempertahankan jersi berkenaan dalam baki empat peringkat berikutnya.

"Genting Highlands memang paling penting dalam perlumbaan ini. Apabila berjaya merampasnya di sana, saya mendapat kerjasama yang bagus dari rakan sepasukan bagi merealisasikan kejayaan ini," jelas Dyball.

Menurutnya, rakan sepasukan mengawal perlumbaan dengan baik pada baki empat peringkat dengan dia tenang sehingga sah bergelar juara.

Kejayaan TSC mengulangi pencapaian Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) yang meraih Jersi Kuning menerusi pelumbanya dari Russia, Artem Overchkin tahun lalu.

Pencapaian di LTdL 2019 membolehkan TSC meraih RM112,450, pasukan kedua terbanyak di belakang Floyd's Pro Cylcing RM126,600 dari jumlah keseluruhan wang kemenangan RM816,750.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 11:06pm
d