arena

Melaka hampa angkara gol sendiri

Oleh Shamsul Kamal Amarudin

PKNP FC meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Super apabila menumpaskan Melaka United 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.

Gol tunggal perlawanan diperolehi hasil jaringan sendiri Ahmad Khuzaimi Piee yang tertampan hantaran lintang Yashir Pinto pada minit ke-66.

Ini kemenangan ketiga berturut-turut PKNP dalam saingan Liga Super berbanding Melaka yang mencatatkan tiga kekalahan.

Perlawanan babak pertama agak seimbang dengan bola lebih banyak berlegar di bahagian tengah.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-22 menerusi rembatan Mohamad Al-Fateh Mohd Afandi dari luar kotak penalti namun tepat ke dakapan Khairul Fahmi Che Mat.

Lorongan Mohamad Ramdan dari sebelah kanan pula gagal disambut barisan penggempur PKNP biarpun Khairul Fahmi sudah tertewas.

Melaka berpeluang mendahului tuan rumah pada babak kedua namun rembatan lemah Patrick Reichelt dalam kotak penalti pada minit ke-62 mudah ditepis Amar Asyraaf Omar.

Penyerang tuan rumah, Giancarlo Lopez berpeluang menambah gol namun dua percubaannya pada minit ke-77 dan 79 melepasi gawang gol.

Disiarkan pada: April 13, 2019 @ 11:37pm
d