arena

Giliran SPAL tangguh pesta Juventus

Oleh Reuters

JUVENTUS terlepas peluang mengesahkan kejuaraan kelapan berturut-turut Serie A selepas tewas mengejut kepada SPAL 2-1 di Stadio Paolo Mazza sebentar tadi sekali gus kemenangan pertama mereka ke atas Juve dalam masa 62 tahun.

Skuad Massimiliano Allegri tahu keputusan seri sudah mencukupi untuk mereka menjulang trofi dengan baki enam perlawanan dan mendahului pada babak pertama menerusi jaringan Moise Kean.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah bangkit memberi tentangan selepas rehat dan dua gol menerusi Kevin Bonifazi dan Sergio Floccari memastikan kemenangan pertama mereka ke atas juara Itali itu sejak 1957.

Kelab Turin itu masih berpeluang bergelar juara esok jika pasukan di tangga kedua Napoli gagal menewaskan Chievo di tempat lawan.

Kekalahan itu yang kedua buat Juve musim ini dan kini 20 mata mengatasi Napoli manakala SPAL meningkat ke tangga ke-13 dengan 35 mata, tujuh mata di atas zon penyingkiran.

Allegri melakukan tujuh pertukaran dengan tumpuan lebih terarah kepada saingan peringkat kedua suku akhir Liga Juara-Juara menentang Ajax di Turin selepas seri 1-1 pada aksi pertama.

Andrea Barzagli dan Juan Cuadrado kembali beraksi selepas pulih kecederaan manakala pertahanan berusia 17 tahun Paolo Gozzi dan pemain tengah Grigoris Kastanos beraksi kali pertama dalam Serie A.

Kean yang berusia 19 tahun sekali lagi mencuri tumpuan apabila meletakkan Juve di depan pada minit ke-29 menerusi tolakan mudah dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, SPAL yang lebih agresif pada babak kedua menyamakan kedudukan pada minit ke-48 selepas bola sepakan sudut ditanduk masuk Bonifazi.

15 minit kemudian Floccari menceriakan penyokong tuan rumah apabila dia yang pantas menyusup masuk ke kotak penalti meledak kencang untuk gol kemenangan SPAL.

Kemenangan itu adalah yang ketiga berturut-turut SPAL di tempat sendiri selepas menewaskan Roma dan Lazio.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 12:09am
d