arena

Penalti Pogba selamatkan Man Utd

Oleh AFP

PAUL Pogba menamatkan kemarau gol lapan perlawanan dengan menjaringkan dua penalti sekali gus membantu Manchester United yang beraksi di bawah tahap sebenar menang 2-1 ke atas West Ham, awal pagi tadi.

Pogba membuka tirai jaringan selepas 19 minit apabila Robert Snodgrass dipersalahkan kerana mengasari Juan Mata dalam kotak penalti, namun United gagal bermain baik selepas itu.

Felipe Anderson, terdahulu melihat golnya dibatalkan kerana ofsaid, menyamakan kedudukan pada awal babak kedua buat West Ham.

Pemain gantian Michail Antonio dua kali hampir memberikan pasukan kendalian Manuel Pellegrini kemenangan pertama di tempat lawan tahun ini, percubaannya terkena palang dari jarak 17 meter dan kemudian tandukan kencangnya diselamatkan David de Gea.

Namun Pogba terbukti menjadi wira kemenangan, merembat masuk sepakan penalti 10 minit sebelum tamat selepas Anthony Martial, yang mempunyai ruang untuk menjaringkan gol, dijatuhkan Ryan Fredericks.

Kemenangan itu amat diperlukan pengurus Ole Gunnar Solskjaer selepas rentetan empat kekalahan dalam lima perlawanan, terutama selepas beliau memutuskan untuk merehatkan Scott McTominay dan Marcus Rashford bagi suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Barcelona, awal pagi Rabu ini.

Tiga mata melonjakkan anak buah Solskjaer ke tangga kelima dan dua mata di belakang Chelsea, yang bertandang ke Liverpool, malam ini.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 7:57am
d