arena

Marquez rampas petak utama GP Amerika

Oleh AFP

JUARA dunia Marc Marquez mengekalkan dominasinya pada Grand Prix Amerika awal pagi tadi, sekali lagi menyambar petak utama ketika dia memburu kemenangan ketujuh berturut-turut di Texas.

Bintang MotoGP Sepanyol itu meraih petak utama ketujuh berturut-turut di Litar Americas, Austin selepas mencatat masa terpantas dua minit 3.787 saat pada awal sesi kelayakan.

Pencabar dari Itali, Valentino Rossi kedua terpantas dengan 2:04.060 manakala penunggang Britain, Cal Crutchlow ketiga 2:04.147.

Marquez menang di Austin dari petak utama setiap tahun sejak perlumbaan itu disenaraikan dalam kalendar MotoGP pada 2013.

Berdasarkan bukti awal pagi tadi, penunggang Repsol Honda itu kelihatan sukar ditewaskan sekali lagi selepas satu persembahan dominan di litar Austin.

Catatan terpantas Marquez hadir pada pusingan keduanya dan pencabarnya bergelut untuk mengatasinya bagi baki sesi, dengan tiada pelumba mampu mencatat di bawah 2 minit 4 saat.

Marquez hadir di Texas susulan kemenangan menakjubkan ke atas Rossi di Argentina, yang mana dia menang dengan jurang 10 saat di Termas de Rio Hondo.

Pelumba Sepanyol itu mendahului carta kejuaraan dunia dengan empat mata di depan Andrea Dovizioso menjelang perlumbaan awal pagi esok.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 11:01am
d