arena

Yusri kembali kendali Kelantan

Oleh Syazwan Msar

PERGI dan datang kembali apabila bekas jurulatih Kuala Lumpur Yusri Che Lah disahkan sudah menandatangani kontrak semusim untuk membaikpulih pasukan Kelantan bagi mengharungi saingan liga. Perkara itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan yang menandatangani Yusri selepas menamatkan kontrak ketua jurulatih pasukan terbabit Marco Kraljevic baru- baru ini.

Bibi Ramjani berkata, beliau percaya dengan kredibiliti dan kemampuan dimiliki Yusri mampu menggalas cabaran mengemudi pasukan yang kini menghuni tangga tercorot Liga Perdana.

“Memang kita sudah tandatangan bersama Yusri hari ini dan dia akan menggalas tugas sebagai ketua jurulatih dalam masa terdekat ini.

“KAFA pilih Yusri kerana sebelum ini dia pernah menjawat jawatan berkenaan bersama Kelantan dan banyak pembaharuan dibawa kepada pasukan sebelum ini,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Mengikut rekod Yusri sebelum ini diumumkan sebagai ketua jurulatih pasukan The Red Warriors pada 20 November tahun lalu sebelum beberapa hari kemudian dipilih pula mengemudi Kuala Lumpur.

Namun, jodoh jurulatih yang berasal dari Perlis itu hanya mampu bertahan selama tiga bulan bersama Kuala Lumpur sebelum beliau mengumumkan peletakan jawatan.

Pencapaian terbaik Yusri bersama Kelantan sebelum ini adalah berjaya membawa pasukan terbabit layak beraksi ke peringkat suku akhir Piala Malaysia ketika memangku jawatan sebagai ketua jurulatih.

Disiarkan pada: April 14, 2019 @ 10:23pm
d