arena

Liverpool kembali duduki puncak Liga Perdana

Oleh Reuters

LIVERPOOL merampas kembali takhta Liga Perdana Inggeris yang dipinjamkan sementara kepada Manchester City selepas menewaskan Chelsea 2-0 di Anfield sebentar tadi.

Jaringan hebat Mohamed Salah membantu kemenangan Liverpool dan mengekalkan kelebihan dua mata ke atas City yang menewaskan Crystal Palace 3-1 dalam perlawanan terdahulu.

Liverpool kini mempunyai 85 mata dengan baki empat perlawanan dan City memiliki 83 mata tetapi mempunyai kelebihan satu perlawanan .

Selepas tamat babak pertama yang berlangsung sengit, Liverpool memecah kebuntuan pada minit ke-51 apabila Sadio Mane menanduk masuk gol pembukaan selepas mendapat hantaran Jordan Henderson.

Dua minit kemudian Anfield bergema lagi menerusi rembatan kencang Salah dari jarak 25 meter yang gagal diselamatkan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga.

Chelsea turut mencemaskan pertahanan tuan rumah menerusi beberapa percubaan bintang Belgium, Eden Hazard namun tersasar.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 1:42am
d