arena

Padah acu jari tengah...

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Pemain Selangor, Nurridzuan Abu Hassan kemungkinan besar akan dikenakan tindakan berikutan keterlanjurannya menunjukkan isyarat lucah ketika perlawanan berdepan Perak di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

Ini berikutan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) lazimnya tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan tidak bertanggungjawab seperti itu walaupun dilakukan dalam suasana tegang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid berkata, FAM sudah mendapat laporan dan juga bukti berdasarkan gambar dan rakaman video insiden itu.

Menurutnya, laporan berserta bukti itu akan diserahkan kepada jawatankuasa tatatertib untuk siasatan lanjut sebelum tindakan ke atas pemain berkenaan diputuskan.

“Saya melihat kepada tindakan pemain terbabit, kemungkinan dia akan menerima hukuman kerana perbuatan terbabit jelas tidak boleh diterima.

“Namun, saya tetap menyerahkan kepada jawatankuasa tatatertib untuk menentukan bentuk hukuman jika dia terbukti benar menunjukkan isyarat lucah,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Dalam perlawanan itu, Selangor terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Perak.

Pelawat terlebih dahulu di hadapan apabila Mohd Nor Hakim Hassan mudah menolak masuk gol hasil hantaran Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit 36.

Kegembiraan Perak tidak berpanjangan apabila Sandro Da Silva menyumbat gol penyamaan buat tuan rumah selang tiga minit kemudian menerusi sepakan percuma.

Perlawanan dicemari dengan insiden kad merah apabila Nurridzuan diarahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua pada minit 57 selepas mengasari pemain lawan.

Sebelum ini, pemain Pahang, Ahmad Syamim Yahya didenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gara-gara menunjukkan isyarat lucah ketika perlawanan Melaka menentang Pahang di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 25 Februari 2017.

Selain itu, pemain Sabah, Maxsius Mus digantung empat perlawanan dan denda RM2,000 selepas didapati bersalah menunjukkan isyarat lucah kepada pengadil perlawanan ketika aksi menentang Melaka di Stadium Likas pada 11 Mac 2016.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 8:30am
d