arena

PSG kalah teruk

Oleh AFP

PARIS Saint-Germain terlepas peluang menjulang gelaran keenam Ligue 1 dalam tempoh tujuh tahun untuk minggu kedua berturut-turut awal pagi tadi selepas dibelasah 1-5 di Lillie, kekalahan terburuk mereka di liga berkenaan dalam tempoh 10 tahun.

Skuad Thomas Tuchel sepatutnya dimahkotakan sebagai juara hujung minggu lalu tetapi gagal menewaskan Strasbourg, dan sekali lagi gagal melakukannya awal pagi tadi meskipun hanya memerlukan satu mata dalam perlawanan yang menyaksikan mereka bermain dengan 10 pemain selama 54 minit dan kehilangan kapten Thiago Silva dan Thomas Meunier akibat kecederaan.

Kekalahan PSG adalah yang terburuk di liga domestik sejak tewas 0-4 kepad Bordeaux pada 2009, dan kali pertama mereka bolos lima gol dalam liga itu sejak tewas 1-5 kepada Sedan pada 2000.

Bagaimanapun mereka masih 17 mata mendahului Lille di tangga kedua dan jika mereka menewaskan Nantes awal pagi Khamis, mereka masih berpeluang muncul juara dengan baki enam perlawanan.

“Kami akan menjadi juara, namun anda perlu tewas dengan cara yang betul,” kata Kylian Mbappe, yang dua golnya tidak dikira kerana ofsaid.

“Kami tidak boleh kehilangan personaliti seperti itu, dan bolos tiga, empat dan lima gol. Kekalahan berlaku, tetapi ia tidak normal.”

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 10:07am
d