arena

The Fighters sedia sekat Red Giants

Oleh Asrol Awang

KAPTEN FELDA United FC, Hadin Azman tidak mahu faktor ketumpulan jentera serangan menghalang misi mencatat kemenangan ke atas Selangor pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Shah Alam, malam esok.

Bekas pemain Harimau Muda B itu berkata, skuad The Fighters akan memastikan gawang Red Giants dapat dibolosi dan meraih kemenangan bagi memastikan kemaraan mereka ke saingan suku akhir piala berprestij itu.

"Kami tidak mahu ketumpulan jentera serangan dijadikan alasan dan saya yakin dengan kemampuan rakan sepasukan menafikan hasrat Selangor dalam kelompok 16 pasukan terbaik.

"Selain kita beri tumpuan kepada barisan serangan, kubu pasukan diharap lebih kebal untuk mengekang asakan lawan yang dilihat semakin mantap sejak beberapa perlawanan sebelum ini.

"Walaupun kami seri 1-1 pada aksi Liga Super, peluang untuk menewaskan Selangor tetap ada jika displin dan komitmen tinggi dipersembahkan rakan sepasukan," katanya.

Pada perlawanan malam esok, FELDA United dijangka mempertaruhkan kembali Hadin bersama Zahril Azri Zabri dan Thiago Aquino.

Tiga pemain berkenaan tidak beraksi ketika The Fighters berkongsi satu mata selepas seri 1-1 dengan Kuala Lumpur pada aksi Liga Super, kelmarin.

Mereka tidak disenaraikan kerana digantung satu perlawanan kerana layangan kad merah ketika bertemu Johor Darul ta'zim (JDT), 5 April lalu.

Hadin turut mengharapkan penyerang import kelab itu, Kei Ikeda atau Azim Rahim dapat membantu mengecewakan skuad kendalian B Sathianathan.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 8:30pm
d