arena

Eei Hui gembira prestasi Kiang Meng-Pei Jing

Oleh Ferzalfie Fauzi

JURULATIH beregu campuran negara, Chin Eei Hui mengakui gembira dengan prestasi dipamerkan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing sepanjang minggu lalu walaupun anak buahnya itu terlepas peluang merangkul kejuaraan sulung selepas tumpas dalam perlawanan akhir Terbuka Singapura semalam.

Menurutnya, sejak dari pusingan pertama hingga ke separuh akhir Kian Meng-Pei Jing bukan berdepan laluan mudah kerana terpaksa mengharungi perlawanan tiga set.

"Ia bukan mudah buat mereka namun saya rasa ini adalah cabaran yang bagus," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini. 

Ujar Eei Hui, walaupun Kian Meng-Pei Jing terpaksa mengharungi minggu yang memenatkan namun kedua-duanya akan kembali menyambung semula latihan hari ini.

"Semalam mereka memang tidak dapat melakukan yang terbaik ketika di perlawanan akhir, kerana pasangan Thailand beraksi dengan baik sekali.

Mereka juga tidak dapat mengikut kelajuan yang dipamerkan pasangan lawan. 

"Selepas tidak dapat bermain dengan baik, taktikal mereka juga kurang menjadi,” kata bekas pemain beregu wanita negara itu.

Kian Meng-Pei Jing yang sebelum ini mara ke perlawanan separuh akhir Terbuka Malaysia, terpaksa akur dengan kehebatan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai apabila tumpas straight set 14-21, 6-21 di Stadium Tertutup Singapura.

Pasangan ke-26 dunia itu selepas ini akan meneruskan aksi di Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China yang berlangsung dari 23 hingga 28 April ini.

Disiarkan pada: April 15, 2019 @ 9:45pm
d