arena

Guardiola mahu bangkit di Etihad

Oleh AFP

MANCHESTER City kekal dalam laluan mencipta sejarah untuk menjulang empat trofi musim ini, namun kemenangan Pep Guardiola di Etihad kali ini akan dinilai terhadap sejauh mana pasukannya mampu bangkit daripada defisit 0-1 ketika menentang Tottenham dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Khamis.

Skuad City kendalian Guardiola sudah menghampiri kejayaan seperti yang dijanjikan di peringkat domestik.

Rekod Liga Perdana Inggeris untuk mata, gol dan kemenangan berjaya dipecahkan ketika menjulang gelaran musim lalu.

Anak buah Guardiola kini bakal menjadi pasukan pertama dalam dekad ini mempertahankan gelaran Liga Perdana biarpun Liverpool, juara Inggeris 18 kali juga menghampiri rekod pungutan mata.

City baru saja mempertahankan gelaran Piala Liga dan menjadi pasukan pilihan menjulang lebih banyak gelaran apabila menentang Watford dalam final Piala FA.

Bagaimanapun Roberto Mancini dan Manuel Pellegrini yang kurang mendapat tumpuan juga menjulang Liga Perdana sepanjang dekad ini, sejak diambil alih jutawan Abu Dhabi dengan pelaburan jutaan pound.

Rancangan terbesar mereka adalah membolehkan Guardiola membawa City menjulang Liga Juara-Juara, sesuatu yang masih belum dapat dilakukannya.

Pengendali dari Catalan itu sering menggunakan pengalaman City di pentas Eropah sebagai alasan. Sekiranya juara Inggeris itu mampu menewaskan Tottenham kali ini, ia adalah kali kedua mereka muncul di separuh akhir.

“Ia satu cabaran yang baik untuk kami. Anda perlu hidup sebagai sebuah kelab, sebagai pemain jika boleh,” kata Guardiola selepas aksi pertama itu.

“Kami mempunyai perlawanan kedua. Ia tampak lebih sulit tetapi semakin hari kita akan dapat melihatnya dengan lebih jelas.”

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 9:12am
d