arena

Renan, Zaquan bawa Kedah ke suku akhir

Oleh Izzali Ismail

GOL sumbangan Renan Alves dan Zaquan Adha Radzak pada setiap babak membantu bekas juara Kedah menundukkan PJ City 2-0 sekali gus layak ke suku akhir Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam ini.

Kuisan Renan susulan sepakan sudut Baddrol Bakhtiar seawal minit kedua mengelirukan penjaga gol Muhaimin Mohamad sekali gus menggamatkan penonton tuan rumah.

Helang Merah sekali lagi mencemaskan pintu gol PJ City melalui pemain tengah Jonatan Bauman pada minit ke-25 selepas menerima hantaran silang Azmeer Yusof namun tampanannya melepasi palang gol.

Selepas hanya mendahului 1-0 ketika rehat, Kedah bangkit mencari gol yang mampu meletakkan mereka dalam keadaan selesa.

Kerja keras mereka berbaloi dan penyerang kebangsaan Zaquan menjaringkan gol secara solo pada minit ke-58 bagi mengukuhkan kedudukan serta memastikan kemenangan.

Disiarkan pada: April 16, 2019 @ 11:27pm
d