arena

Messi buat United huru-hara

Oleh Reuters

JURULATIH Barcelona Ernesto Valverde memuji Lionel Messi kerana memberikan kegembiraan selepas permulaan goyah menentang Manchester United dan membantu Calatans meraih kemenangan 3-0 untuk ke separuh akhir.

Rembatan Marcus Rashford terkena palang pada minit kedua di Nou Camp namun Messi meledak dua gol dalam tempoh lima minit selepas itu pada separuh masa pertama untuk memudahkan laluan Barca.

Jaringan menakjubkan Philippe Coutinho melengkapkan kemenangan agregat 4-0.

“Messi sentiasa melepaskan kami daripada bahaya dan kami beruntung memilikinya,” kata Valverde.

“Leo sentiasa bangkit dalam perlawanan penting, bukan saja pada saat getir tetapi juga pada seluruh perlawanan.

“Dia sentiasa berjaya menjaringkan gol tetapi juga memacu gerakan serangan pasukan.”

Valverde berkata pasukannya lega dapat melepasi halangan suku akhir selepas tiga kali tersingkir berturut-turut pada suku akhir terutamanya musim lalu apabila tewas 0-3 kepada AS Roma selepas menang aksi pertama 4-1.

“Kami meletakkan harapan tinggi untuk perlawanan ini, sudah lama kami tidak berada di separuh akhir dan berdepan kekalahan menyakitkan tahun lalu,” katanya.

“Anda tidak tahu apa yang boleh berlaku dalam bola sepak, mereka mempunyai pasukan yang bagus dan mungkin memberikan kami masalah jadi kami pastikan sentiasa fokus dan bermain dengan intensiti supaya berjaya mara ke peringkat seterusnya.”

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 8:21am
d