arena

Butt ditahan polis

Oleh Agensi

KETUA Akademi kelab Manchester United, Nicky Butt ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam keganasan rumah tangga.

Berita mengejutkan itu hadir beberapa jam sebelum United beraksi pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara (UCL) di Nou Camp, Barcelona.

Polis Greater Manchester memberitahu akhbar tabloid Britain, Daily Mail: "Polis menerima panggilan sekitar jam 2 pagi Selasa, 16 April, 2019 membabitkan seorang wanita diserang di sebuah rumah di Broadway, Hale.

"Wanita terbabit mengalami kecederaan kecil pada bahagian tangan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

"Lelaki berusia 44 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam serangan dan masih dalam tahanan untuk soal siasat."

Bekas pemain tengah United itu dipercayai masih berada dalam tahanan sehingga siasatan selesai.

Manchester United tidak memberi sebarang kenyataan berhubung insiden itu.

Butt membuat 387 penampilan bersama kelab itu antara 1992 dan 2004.

Dia juga pemain utama "Class of '92’ bersama David Beckham dan Ryan Giggs.

Butt meraih enam gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), UCL dan tiga Piala FA sejak membuat penampilan pertama pada 1992.

Dia memiliki 39 kap bersama England sepanjang kariernya.

Butt dilantik menjadi ketua Akademi United pada 2016 dan banyak membantu peningkatan pemain kesebelasan utama dan antarabangsa England, Marcus Rashford.

Selain itu, dia juga pemilik bersama kelab Salford City bersama bekas rakan sepasukan United, Giggs, Scholes, Gary Neville dan Phil Neville.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 1:33pm
d