arena

'Tak perlu malu apa-apa' - Zahasmi

Oleh Attirmidzie Rahman

'TIADA apa untuk dimalukan. ' Itu respon ketua jurulatih Kelantan United, Zahasmi Ismail selepas pasukannya tewas 1-3 berdepan Terengganu FC (TFC) pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, semalam.

Zahasmi jelas berpuas hati dengan prestasi anak buahnya meskipun misi untuk ke suku akhir Piala FA terkandas di tangan sebuah pasukan Liga Super.

Beliau berkata, perlawanan itu satu pencapaian boleh dibanggakan bagi pendatang baharu yang beraksi di Liga M3 untuk layak ke pusingan ketiga sekaligus bertemu pasukan besar seperti TFC.

"Saya bersyukur kerana pasukan ini sampai ke peringkat pusingan ketiga dan tewas pula dengan pasukan Liga Super. Ini menunjukkan satu pencapaian terbaik sudah dibuktikan kerana kita dapat menyaingi mereka.

"Kita dapat bertahan 45 minit dengan kelebihan satu jaringan ini pun saya kira kita sudah berjaya menewaskan TFC pada separuh masa pertama. Jadi tidak ada apa untuk dimalukan," katanya pada sidang media perlawanan semalam.

Zahasmi yang pernah mengendalikan The Red Warriors pada musim 2017 berkata, kedua-dua pasukan mempunyai kualiti permainan berbeza, namun Kelantan United tetap membuktikan di dalam bola sepak tiada yang mustahil.

"Kalau mahu dibandingkan kami dengan status bermain di Liga M3 dan TFC yang beraksi di Liga Super, ia amat jauh sekali.

"Namun, pemain Kelantan United tetap boleh menyaingi mereka cuma memerlukan lebih banyak masa untuk kita lakukan yang lebih baik.

"Selepas ini, fokus Kelantan United adalah dalam saingan Liga M3 dan ia menjadi fokus besar kami untuk musim ini," katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 3:18pm
d