arena

Dua gol awal bunuh semangat PJ City

Oleh Izzali Ismail

DUA gol pada awal babak pertama dan kedua 'melemahkan' rentak serangan Petaling Jaya City FC (PJC FC) ketika tewas 0-2 kepada Kedah di Stadium Darul Aman sekali gus gagal ke suku akhir Piala FA semalam.

Menurut penolong ketua jurulatih PJC FC, Leong Hong Seng, persiapan rapi mereka lakukan sebelum ini gagal membuahkan hasil apabila gol Kedah seawal minit ke-2 bermula daripada sepakan sudut menjejaskan permainan mereka.

"Kami cuba bangkit pada separuh masa kedua malangnya gol kedua Kedah pula hadir menyebabkan pemain hilang fokus sehingga menjejaskan hantaran dan lain-lain."

"Apabila beberapa percubaan tidak menjadi, pemain berusaha secara individu dan itu menyebabkan beberapa pertikaian antara pemain."

"Untuk Piala FA ini kami membuat persiapan selama tiga minggu dan sebelum ini kami juga mengkaji perlawanan Kedah menentang Terengganu FC namun kami dapati Kedah beraksi berbeza berbanding sebelum ini."

Hong Seng turut mengakui PJC FC tetap mempunyai beberapa peluang terutama pada penghujung babak pertama apabila mereka membuat banyak serangan dan hampir mendapat sepakan penalti namun gagal memperolehinya.

"Kami cuba meneruskan momentum namun malangnya kesilapan pemain pertahanan kami ditepi garisan membolehkan Zaquan Adha menghasilkan gol kedua dengan mudah."

"Selepas dibolosi dua gol kami tetap mahu bangkit kerana masih mempunyai masa yang banyak, namun pemain kami dilihat terlalu bertahan dan menyerang mengikut momentum yang sama dan menyebabkan mereka tidak mendapat sokongan yang kuat.

Hong Seng Leong juga mengakui ketumpulan jentera serangan mereka amat dirasai sekalipun penyerang veteran Safee Sali dimasukkan bagi menajamkan serangan PJC FC pada babak kedua.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 3:34pm
d