arena

Harimau Malaya jumpa Timor Leste

Oleh Firdaus Hashim

WALAUPUN berdepan Timor Leste yang kini berada di ranking ke-195 dunia, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tetap mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada dengan corak permainan pantas lawan apabila bertembung pada pusingan pertama playoff Kelayakan Piala Dunia 2022, Jun ini.

Menurut jurulatih kebangsaan itu, berdasarkan pemerhatiannya ketika aksi Piala AFF hujung tahun lalu, Timor Leste mempamerkan peningkatan yang jauh berbeza sejak dibimbing oleh pengendali dari Jepun, Norio Tsukitate.

Katanya, kepantasan ketika melakukan serangan balas antara elemen utama yang harus diberi perhatian oleh anak buahnya pada aksi yang dijalankan secara timbal balik pada 6 dan 11 Jun ini.

“Memang kalau tengok balik masa kejohanan Piala AFF pasukan Timor Leste juga pamerkan aksi merbahaya dari segi serangan mereka. Kami perlu sentiasa fokus dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap aspek itu.

“Malah, kehadiran dua atau tiga pemain naturalisasi juga mampu membakar semangat mereka. Jadi kami kena bersiap sedia dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui pada majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam undian itu, sebanyak 12 pasukan yang mengisi kedudukan ranking 35 ke bawah zon Asia terpaksa melalui peringkat playoff sebelum enam pemenang mara ke peringkat kumpulan.

Sekiranya Malaysia berjaya melepasi halangan Timor Leste, mereka akan bersaing dengan 39 pasukan lain yang akan dibahagikan kepada lapan kumpulan.

KELAYAKAN PIALA DUNIA 2022

Undian pusingan pertama playoff:

Mongolia mln Brunei

Macau mln Sri Lanka

Laos mln Bangladesh

Malaysia mln Timor Leste

Kemboja mln Pakistan

Bhutan mln Guam

* Perlawanan pada 6 Jun dan 11 Jun

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 5:39pm
d