arena

Roth dominasi peringkat pertama TdIJ

Oleh Ferzalfie Fauzi

CUACA panas terik dan kali pertama beraksi musim ini tidak menghalang pelumba veteran dari Kanada, Ryan Roth untuk mengungguli peringkat pertama Tour de Iskandar Johor (TdIJ) dari Iskandar Puteri ke Batu Pahat, hari ini.

Roth yang mewakili pasukan XSpeed United dari Hong Kong muncul pelumba pertama melintasi garisan penamat sekali gus membolehkannya merangkul dua jersi, biru bagi pendahulu keseluruhan dan putih sebagai Raja Pecut.

“Ini kali pertama saya berlumba di Malaysia dan kali pertama musim ini. Jadi saya hanya beraksi seperti biasa namun tampil lebih agresif,” katanya yang berusia 36 tahun.

Menurut Roth, walaupun pasukannya tidak mempunyai pakar pecut, mereka berjaya mengatur strategi dengan baik.

“Laluan hari ini amat baik dan laju namun paling penting kami dapat mengatasi masalah cuaca panas. Bagi saingan esok saya akan melaluinya seperti biasa, sebab tidak ada laluan pendakian. Bagaimanapun, susah untuk kami cuba menjarakkan diri dengan pelumba lain kerana laluan landai dan perlumbaan menjadi sangat laju,” katanya.

Selepas menjarakkan diri dengan peloton, saingan hari ini tertumpu kepada Roth, Mathew Zenovich (St George Continental) dan Benjamin Dyball (Team Sapura Cycling), namun pelumba yang pernah beraksi pada Kejohanan Dunia di Doha itu melintasi garisan penamat terlebih dulu.

Bagaimanapun, Zenovich masih boleh berpuas hati kerana merangkul jersi merah selaku pendahulu Raja Bukit dengan mengumpul empat mata.

Sementara itu, seorang lagi pelumba XSpeed United, Evan Burtnik menyarung jersi hitam selaku pelumba muda terbaik.

Perlumbaan peringkat kedua esok menyaksikan jarak paling jauh iaitu 172.4km dari Muar ke Yong Peng.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 5:56pm
d