arena

Adlan azam rampas jersi hitam

Oleh Ferzalfie Fauzi

PELUMBA Team Sapura Cycling (TSC), Shaiful Adlan Shukri melintasi garisan penamat lebih awal berbanding Evan Burtnik, namun dia kecewa kerana terlepas peluang menyarung jersi hitam selaku pendahulu pelumba muda terbaik Tour de Iskandar Johor (TdIJ).

Burtnik, 22, dari XSpeed United memiliki kelebihan dua mata ketika melalui zon pecutan perlumbaan peringkat pertama dari Iskandar Puteri ke Batu Pahat hari ini walaupun dia menamatkan perlumbaan di tangga ke-15.

“Perlumbaan esok dijangka lebih sengit dengan ada pasukan cuba untuk mengawal saingan namun saya akan cuba merampas jersi pelumba muda terbaik daripada Burtnik,” katanya yang meraih pingat perak Sukan Malaysia (SUKMA) Perak tahun lalu dalam acara ujian masa individu.

Adlan yang berasal dari Kuala Terengganu, berharap bukan saja mampu merampas jersi hitam namun menjejak podium di Yong Peng esok.

“Sebenarnya untuk perlumbaan hari ini memang kami cuba meraih jersi pendahulu keseluruhan namun tidak berjaya, namun kami akan cuba melakukannya sekali lagi,” kata pelumba berusia 21 tahun itu.

Sementara itu, pelumba Selangor, Zamirul Adlisham Zulkefli yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-16, menduduki ranking ketiga kategori pelumba muda terbaik.

Disiarkan pada: April 17, 2019 @ 11:01pm
d