arena

Kipre lega tamat kemarau jaringan

Oleh Malik Muhamad

KUALA TERENGGANU: Selepas melalui kemarau jaringan berpanjangan sejak 10 perlawanan lalu, akhirnya penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche membuka ‘akaun’ gol pertamanya musim ini.

Lebih menggembirakan pemain diberi gelaran ‘Drogba Ganu’ itu apabila jaringannya hadir tepat pada masanya untuk membantu skuadnya layak ke suku akhir Piala FA musim ini.

“Jaringan pertama saya ketika bertemu Kelantan United pada aksi pusingan ketiga Piala FA malam tadi (kelmarin) sangat penting kepada saya sebagai penyerang selepas sepuluh perlawanan termasuk liga dan Piala FA tanpa sebarang gol.

“Gol itu bukan saja membakar semangat juang saya untuk berusaha lebih gigih lagi tapi apa yang lebih penting dapat membantu pasukan mara ke suku akhir,” kata pemain kelahiran Ivory Coast itu.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu yang berkesudahan TFC menang 1-3, penyerang berusia 32 tahun itu meledak jaringan kedua pasukannya pada minit ke-54 melalui rembatan kencang dari sebelah kiri pintu gol pelawat.

Mengulas lanjut, bekas penyerang kelab Al-Suwaiq (Liga Oman) itu yang menghasilkan 24 gol dalam Liga Malaysia (Liga M) musim lalu mengharapkan jaringannya tidak terhenti pada perlawanan itu saja.

“Sebagai penyerang sudah pasti saya mahu lebih lagi jaringan, saya harap dalam pertemuan akan datang terutama bertemu FELDA United Jumaat ini saya mampu menghasilkan jaringan lagi.

“Saya tidak akan berhenti di sini sebaliknya akan berjuang untuk membantu pasukan mencatat kemenangan demi kemenangan kerana bagi saya usaha keras pasti akan mendapat keputusan yang baik dalam sesuatu permainan,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 8:00am
d