arena

'Anda wira saya'

Oleh Reuters

PENGENDALI Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino mengangkat anak buahnya sebagai wira selepas aksi menakjubkan mereka pada suku akhir Juara-Juara menentang Manchester City yang berakhir dengan kelebihan gol di tempat lawan buat pasukan mereka selepas menamatkan permainan dengan agregat 4-4.

Kemenangan 4-3 pada malam itu buat Manchester City hampir berubah menjadi 5-3 untuk membawa mereka mara ke separuh akhir namun gol saat akhir Raheem Sterling tidak dikira oleh VAR yang mengesahkan Sergio Aguero berada di kedudukan ofsaid.

“Cara ia berakhir, sukar dipercayai,” kata Pochettino.

“Saya sungguh gembira, sungguh bangga. Pemain saya adalah wira buat saya. Saya gembira dengan mereka, gembira dengan penyokong,” kata pengendali Argentina itu yang tidak menurunkan penjaring terbanyak Harry Kane akibat kecederaam.

Perasaan Pochettino bercampur baur pada saat terakhir perlawanan apabila empat perkataan terpapar di layar besar - ‘Tiada gol, VAR, ofsaid’ - mengesahkan jaringan Sterling dibatalkan.

“Dalam satu detik, banyak perkara bermain di minda anda, kekecewaan besar dirasai tetapi mereka mengubah keputusannya,” katanya.

“Itulah sebabnya kami cintakan bola sepak. Hari ini kami mempamerkan karakter dan personaliti yang hebat, ia perlawanan yang menakjubkan.

Pemain tengah Christian Eriksen, yang terlepas bola bagi membolehkan Sterling melakukan ‘jaringan’ tidak menyembunyikan perasaannya.

“Saya mungkin orang yang paling bertuah malam ini. Saya ingat semuanya sudah berakhir tetapi ia perlawanan yang menyeronokkan, bagaikan rollercoaster, banyak yang kami beri tetapi banyak juga yang kami dapat. Ia perlawanan yang pelik,” katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 9:21am
d