arena

Waspada kebangkitan Napoli

Oleh AFP

JURULATIH Arsenal Unai Emery memberi amaran kepada pasukannya akan kebangkitan Napoli kendalian Carlo Ancelotti, pasukan Itali terakhir di kejohanan Eropah musim ini, yang ketinggalan dua gol menjelang aksi suku akhir kedua Liga Europa di Naples awal pagi esok.

“Ancelotti menang Liga Juara-Juara tiga kali, mereka memiliki pasukan yang hebat dengan sejarah yang hebat. Mereka mahu lakukan sesuatu yang penting,” kata Emery.

Ancelotti yang menang gelaran dalam lima liga utama di Eropah, mengambil alih pasukan daripada Maurizio Sarri musim panas lalu dengan janji untuk menamatkan kemarau kejuaraan pasukan itu.

Namun harapan Napoli untuk menjulang gelaran Serie A pertama sejak 1990 berkecai apabila ketinggalan 17 mata berbanding Juventus yang hanya memerlukan satu mata untuk menjulang Scudetto kelapan berturut-turut.

Harapan Ancelotti kini tertumpu kepada misi menjulang trofi Eropah pertama sejak skuad yang dibintangi Diego Maradona ketika itu menjulang Piala UEFA pada 1989.

“Malam esok kami perlukan keberanian, kebijaksanaan dan keazaman,” kata Ancelotti,59, yang memburu gelaran pertama di kejohanan kelas kedua Eropah itu.

Napoli pastinya mengharapkan sokongan penuh penyokong tuan rumah di Stadium San Paolo yang boleh memuatkan 60,000 penonton di mana mereka hanya tewas sekali dalam tujuh perlawanan terakhir menentang kelab Inggeris.

“Kami perlu merebut peluang ini, kami perlukan sikap mental yang positif dan saya ulangi, keazaman yang tinggi,” kata Ancelotti.

“Kami menunjukkan keberanian di London pada separuh masa pertama, kepintaran pada separuh masa kedua dan kami perlukan keazaman dengan dos intensiti yang tinggi.

“Sudah pasti suasana luar biasa akan membantu kami.”

Disiarkan pada: April 18, 2019 @ 11:04am
d